Tutup

Berita  | Sukan

Iceland pulang bermaruah (Iceland 1-2 Croatia)

Iceland pulang bermaruah (Iceland 1-2 Croatia)
Pemain Iceland, Aron Gunnarsson (baju putih) bersaing untuk merampas bola daripada pemain Croatia, Marko Pjaca. - Gambar FIFA.com
ROSTOV-ON-DON: Iceland mampu pulang dengan rasa bangga apabila mempamerkan persembahan yang baik dalam penampilan pertama mereka di pentas Piala Dunia FIFA.

Negara kecil itu layak secara merit ke Rusia 2018 cuba memberi tentangan kepada juara kumpulan D, Croatia namun tumpas 1-2 di saat akhir permainan.

Iceland layak ke Piala Dunia selaku juara kumpulan 1 UEFA di peringkat kelayakan, di hadapan Croatia yang terpaksa melalui pusingan play-off untuk ke Rusia 2018 selepas menamatkan saingan di tempat kedua.

Kedua-dua pasukan bertemu dua kali di peringkat kelayakan dengan Iceland menang 1-0 di Reyjavik di hadapan 9 ribu penyokong pada Jun 2017 namun tumpas 0-2 di Zagreb pada November 2016.
Pertemuan di Rostov Arena ini menyaksikan Croatia meneruskan prestasi cemerlang pada kempen Piala Dunia kali ini dengan menguasai permainan sejak sepak mula.

Peluang terbaik Iceland untuk berada di depan hadir pada minit ke-40 menerusi cubaan Alfred Finnbogason yang sedikit tersasar.
Permainan terus rancak dalam babak kedua, apabila percubaan jarak jauh Milan Badelj terkena palang pada minit ke-52.

Kurang seminit selepas percubaan bahaya itu, Badelj akhirnya menjaringkan gol pertama Croatia hasil hantaran Josip Pivaric.

Gol itu tidak meruntuhkan moral pasukan Iceland yang akhirnya berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas mendapat sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan Croatia, Dejan Lovren.

Gylfi Sigurdsson yang gagal menyempurnakan penalti menentang Nigeria dalam perlawanan kedua kumpulan D tidak mensia-sia peluang kali ini dengan menewaskan penjaga gol Croatia, Lovre Kalinic.

Bagaimanapun Ivan Perisic merembat masuk gol kemenangan Croatia pada minit terakhir permainan selepas menerima hantaran Badelj.

Croatia yang sudahpun sah ke pusingan kalah mati sebelum perlawanan ini, menamatkan saingan kumpulan D selaku juara dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan.

Iceland pula pulang bermaruah dengan satu mata selepas mengikat Argentina dalam perlawanan pembukaan.

Croatia akan bertemu Denmark dalam pusingan kedua pada 2 Julai, jam 2 pagi.

Tonton: Iceland 1-2 Croatia