PENGURUS Huddersfield Town, David Wagner, tidak menjangka bertemu rakannya di Liverpool, Jurgen Klopp, apabila bertandang ke Anfield bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), esok.

Ia bakal menjadi pertemuan pertama kali antara guru dan anak murid itu selepas kedua-duanya bersama di Mainz ketika bergelar pemain pada 1991.

"Ia sesuatu yang hebat kerana Klopp adalah rakan baik saya.

"Namun apa yang lebih menarik adalah Huddersfield akan menentang Liverpool di EPL," kata Wagner.

Wagner dilantik Huddersfield sebagai pengurus pada tahun 2015, sebelum pengendali berusia 46 tahun itu membawa pasukannya layak ke EPL buat kali pertama dalam sejarah.

Dia kini membawa anak-anak buahnya ke Anfield dalam moral yang tinggi selepas mengejutkan Manchester United 2-1 di laman sendiri, minggu lalu.

"Adakah saya terfikir akan menentangnya (Klopp) di EPL dalam masa dua tahun selepas tiba ke sini? Mungkin ia sebenarnya mengambil masa 10 tahun.

"Buat pertama kali, pasukan analisis saya yang hebat datang kepada saya dan menjelaskan mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

"Ia menjadikannya lebih mudah untuk menentang Liverpool kerana saya tidak perlu meluangkan masa dan wang terlalu banyak kepada analisis," ujarnya.