Berita  | Sukan

Impian tercapai, peluang lunas dendam kekalahan - Mat Yo

Impian tercapai, peluang lunas dendam kekalahan - Mat Yo
Norshahrul menggesa rakan sepasukannya menampilkan aksi berkualiti dan tidak memilih jalan sukar sebelum turun pada aksi final kedua di Hanoi pada 15 Dis. - Gambar fail
IMPIAN penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha untuk bertemu pasukan Vietnam semula akhirnya menjadi kenyataan apabila turun pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Tewas 2-0 pada aksi saingan Kumpulan A di Hanoi, Norshahrul optimis ini adalah peluang terbaik buat pasukan negara membalas dendam sekali gus menjulang trofi kejuaraan selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada 2010.

Justeru, Norshahrul menggesa rakan sepasukannya menampilkan aksi berkualiti dan tidak memilih jalan sukar sebelum turun pada aksi final kedua di Hanoi pada 15 Dis.
"Banyak yang kami pelajari daripada kekalahan di Hanoi tempoh hari dan kami tahu kami perlu terutamanya memperkemas dari segi permainan kerana ini adalah perlawanan final.

"Sudah tentu kita perlu mendapatkan gol pada aksi pertama di laman sendiri supaya dapat membawa bekalan selesa di tempat lawan," katanya seperti dipetik Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pada Sabtu

Pemain pasukan Pahang itu yang telah meledak lima gol setakat ini mengakui untuk melepasi benteng pertahanan Vietnam merupakan satu tugas yang mencabar, namun ia bukan sesuatu perkara yang mustahil.

Pemain berusi 32 tahun itu yang gagal mempamerkan taring ketika tewas kepada Vietnam tempoh hari, bagaimanapun mengakui telah mempelajari kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan itu dan akan berusaha keras untuk memburu gol Selasa ini.

"Saya ada mengkaji perlawanan menentang mereka (Vietnam) sebelum ini dan saya akui saya ada melakukan beberapa kesilapan juga pada aksi terbabit.

"Namun selepas melihat analisa permainan, sedikit sebanyak saya mendapat input untuk mengatasi kawalan pertahanan Vietnam dan saya mengharapkan sentuhan saya menjadi di aksi final nanti," tambahnya.


Tag: Pahang, Vietnam, Bukit Jalil, Bola sepak, Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, Piala AFF Suzuki 2018, Hanoi, Final


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.