PIALA Dunia 2018 sudah pun melabuhkan tirainya dengan Perancis muncul juara buat kali kedua selepas 20 tahun. Namun, demam Piala Dunia masih dirasai oleh segelintir peminat bola sepak seluruh dunia yang masih gembira dengan kemenangan pasukan pilihan masing-masing.

Untuk menghidupkan kembali kemeriahan Piala Dunia tahun ini, Sukan Sinar membawakan anda antara lapan perlawanan yang paling diingati pada edisi ke-21 ini.

8. Croatia lwn England (Separuh Akhir): 2-1 (**AET)

Foto Sukan Sinar
Bukanlah antara perlawanan terbaik Piala Dunia, tetapi aksi separuh akhir yang menemukan England dan Croatia layak dianggap sebagai perlawanan yang akan diingati. Sedang ramai menjangkakan England mudah mara ke perlawanan akhir dan membawa pulang trofi yang kali terakhir dimenangi pada 1966, mereka terpaksa akur tewas di tangan Croatia. Bagaimanapun, segalanya tampak meyakinkan buat England apabila Kieran Trippier membuka tirai jaringan seawal minit ke-5. Selepas itu, mereka memperoleh beberapa lagi peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun gagal disudahkan.

Croatia yang terkenal dengan semangat juang tinggi cuba bangkit di babak kedua. Hasilnya, Ivan Perisic berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-68. Selepas jaringan itu, England mula hilang arah dan kerap hilang bola. Croatia terus menggandakan asakan, namun aksi cemerlang Jordan Pickford banyak menyelamatkan kubu England. Selepas tamat 90 minit masa sebenar, perlawanan diheret ke masa tambahan. Ini merupakan perlawanan masa tambahan ketiga berturut-turut buat Croatia sejak pusingan kalah mati. Namun, azam dan semangat mereka begitu tinggi, maka terhasilnya gol kemenangan oleh Mario Mandzukic pada minit ke-109, sekali gus mencipta sejarah mara ke pentas final buat pertama kalinya.

7. England lwn Panama (Peringkat Kumpulan): 6-1

Foto Sinar Harian
Pendatang baharu Piala Dunia, Panama datang ke Rusia dengan misi mencipta sejarah baharu. Namun, pada aksi pembukaan mereka terpaksa akur tunduk 0-3 di tangan Belgium. Kegagalan pertama itu tidak mematahkan semangat mereka apabila bertemu England pada aksi kedua kumpulan. Bagaimanapun, mereka terus ditimpa malang apabila dikejutkan seawal minit ke-8 hasil tandukan John Stones. Selepas itu, mereka bagaikan tidak berdaya apabila bolos empat gol lagi hasil jaringan Harry Kane (dua gol), Jesse Lingard dan Stones sebelum tamat separuh masa pertama.

Ketinggalan lima gol tanpa balas, England terus menambah duka Panama apabila Harry kane melengkapkan hatrik untuk membuatkan England selesa mendahului 6-0. Bagaimanapun, Panama mendapat tonik berguna apabila Felipe Baloy berjaya menjaringkan gol pertama mereka di pentas Piala Dunia. Walaupun tercatat sebagai pasukan yang dibolosi paling banyak dalam satu perlawanan pada edisi ke-21 ini, penyokong Panama tetap meraikan satu gol tersebut seolah-olah memenangi Piala Dunia.



6. Belgium lwn Brazil (Suku Akhir): 2-1

Foto Sukan Sinar
Brazil dianggap pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia edisi ke-18. Namun entah bagaimana semuanya serba tidak menjadi di suku akhir. Ketiadaan Casemiro yang digantung perlawanan jelas dirasai. Apatah lagi, penggantinya, Fernandinho telah menjaringkan gol sendiri untuk membuatkan Belgium mendahului. Selepas itu, Kevin De Bruyne terus menambah duka Brazil dengan gol kedua Belgium hasil hantaran Romelu Lukaku di separuh masa pertama.

Di separuh masa kedua barulah Brazil beraksi lebih baik di sayap kanan hasil gerakan Douglas Costa yang menggantikan Willian. Namun, sandaran tinggi yang diletakkan kepada Gabriel Jesus dan Neymar tidak memberi sebarang hasil buat Brazil mengejar kedudukan. Ini membuatkan Tite terpaksa memasukkan Roberto Firmino dan Renato Augusto sebagai penyerang dan Augusto berjaya menjaringkan gol untuk Brazil pada minit ke-79 untuk kembali mengejar. Malangnya satu gol itu tidak cukup sekali gus memaksa perjalanan juara lima kali Piala Dunia itu terhenti di suku akhir.



5. Croatia lwn Rusia (Suku Akhir): 2-2 (**AET – Croatia menang penentuan penalti 4-3)

Foto Sukar Sinar
Satu lagi perlawanan dramatik di suku akhir. Croatia berdepan dengan tuan rumah dan puluhan ribu penyokong mereka. Agak mengejutkan Rusia dilihat lebih banyak menyerang kubu Croatia di awal permainan. Mereka mendahului dengan gol Denys Cheryshev pada minit ke-31. Namun, lapan minit selepas itu, Croatia berjaya mengikat kedudukan menerusi Andrej Kramaric dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga tamat 90 minit masa sebenar.

Bersambung di masa tambahan, Domagoj Vida berjaya meletakkan Croatia mendahului hasil tandukan cantik menembusi jaring tuan rumah. Seakan kemenangan berpihak Croatia, Mario Fernandes berjaya mengikat kembali kedudukan dalam baki tujuh minit masa tambahan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti. Kedua-dua pasukan memiliki pengalaman dalam penentuan ini di peringkat kalah mati, namun tuah memihak Croatia untuk menang 4-3 dan mara ke separuh akhir.



4. Jerman lwn Sweden (Peringkat Kumpulan): 2-1

Foto Sukan Sinar
Selepas tewas 0-1 di tangan Mexico, Jerman memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang ke kelompok 16 terbaik. Namun, aksi ini tidak mudah untuk bekas juara itu apabila Sweden mempraktikkan taktikal bertahan yang baik. Tambah malang, Ola Toivonen berjaya meletakkan Sweden mendahului 1-0 di minit ke-32 dan mereka terus bertahan. Enggan nasib sama terjadi di perlawanan kedua, Jerman terus menggandakan asakan di babak kedua. Hasilnya, Marco Reus berjaya mengikat kedudukan 1-1.

Jerman tambah malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Jerome Boateng dilayangkan kad merah. Seakan keputusan berakhir seri, Jerman dihadiahkan sepakan percuma berhampiran gol tatkala masa kecederaan bakal berakhir dalam tempoh beberapa saat lagi. Tony Kroos tanpa disangka muncul wira apabila berjaya menyudahkan sepakan percuma terus melepasi penjaga gol Sweden. Jerman akhirnya mengutip tiga mata berharga mereka dengan berbaki satu lagi perlawanan bertemu Korea Selatan.



3. Perancis lwn Croatia (Akhir): 4-2

Foto Sukan Sinar
Antara perlawanan akhir yang menghiburkan menemukan buku dan ruas. Tiada siapa menyangka akan berlaku pesta enam gol dalam perlawanan ini. Perancis berjaya membuka tirai jaringan hasil jaringan sendiri Mario Mandzukic yang tertanduk bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Antoine Griezmann. Namun, Croatia berjaya menyamakan kedudukan semula melalui Ivan Perisic. Perisic yang dianggap wira bagaimanapun menghadiahkan penalti kepada Perancis di separuh masa pertama apabila bola terkena tangannya. Griezmann mudah menyempurnakan penalti untuk meletakkan Perancis mendahului 2-1.

Di babak kedua, Perancis terus menambah duka Croatia apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit menerusi Paul Pogba dan Kylian Mbappe. Bagaimanapun, Mandzukic berjaya merapatkan kedudukan apabila menyudahkan gol kedua Croatia hasil kesilapan Hugo Lloris. Namun, Perancis telah bertahan dengan baik dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan untuk menghadiahkan Piala Dunia kedua buat Les Bleus selepas 20 tahun.



2. Perancis lwn Argentina (Pusingan Kalah Mati): 4-3

Foto Sukan Sinar
Satu lagi aksi pesta gol daripada Perancis apabila menewaskan finalis empat tahun lalu, Argentina di pusingan kalah mati. Aksi berbalas gol tercetus apabila Griezmann mula meletakkan Perancis mendahului menerusi sepakan penalti. Selepas itu, Argentina mengikat kedudukan menerusi Angel Di Mario di minit ke-41 dan mereka berjaya mendahului 2-1 selepas tiga minit separuh masa kedua bersambung. Namun, Perancis kembali mengikat kedudukan 2-2 di minit ke-57.

Kylian Mbappe muncul wira Les Bleus apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit untuk membuatkan Perancis selesa mendahului 4-2. Di masa tambahan, Sergio Aguero berjaya merapatkan kedudukan 4-3, namun itu tidak cukup buat Argentina dan terpaksa pulang lebih awal pada edisi kali ini.



1. Portugal lwn Sepanyol (Peringkat Kumpulan): 3-3

Foto Sukan Sinar
Bagaikan final! Itu yang boleh disimpulkan pada aksi pembukaan kumpulan B di Piala Dunia 2018.

Pertembungan dua gergasi ini memang antara yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak seluruh dunia dan ianya cukup menghiburkan. Cristiano Ronaldo menjadi pembuka tirai jaringan apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti seawal minit ke-3. Namun, Sepanyol berjaya mengikat kedudukan melalui Diego Costa pada minit ke-24. Ronaldo kembali muncul sebagai senarai penjaring pada minit ke-44 untuk meletakkan Portugal mendahului.

Namun, bersambung di babak kedua, Costa kembali mengikat kedudukan untuk menyaingi jaringan Ronaldo. Tiga minit selepas itu, giliran Sepanyol pula di depan apabila Nacho menyumbat masuk gol ketiga. Seakan keputusan berpihak kepada Sepanyol, Ronaldo sekali lagi menjadi wira apabila melengkapkan hatrik pertama Piala Dunia tahun ini berbaki dua minit masa sebenar. Keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam aksi klasik yang penuh mendebarkan ini.