PERTAHANAN Liverpool, Virgil van Dijk tidak layak untuk dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PFA tahun ini, kata Rio Ferdinand.

Sebaliknya, beliau memilih pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling untuk merangkul anugerah tertinggi individu bagi bola sepak Inggeris itu.

“Virgil? Tidak, tidak. Ada Raheem Sterling.

“Son Heung-min, walaupun Tottenham masih belum memenangi apa-apa lagi, Sergio Aguero, David Silva. Juga Bernardo Silva...,” katanya kepada Daily Star.

Malah, bekas bintang Manchester United itu juga percaya bahawa van Dijk bukanlah pertahanan tengah terbaik dunia.

Beliau masih melihat bintang Real Madrid dan Sepanyol, Sergio Ramos sebagai pertahanan nombor satu dunia ketika ini.

“Apabila ada perlawanan penting, trofi untuk dimenangi, Ramos biasanya akan tampil dan memainkan peranan pentingnya," katanya.

Ramos tidak dapat bersama rakan sepasukannya yang ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 4-1 kepada Ajax Amsterdam di laman sendiri.

Ketiadaan Ramos kerana digantung dua perlawanan selepas didapati ‘sengaja mendapatkan kad kuning’ pada minit ke-89 semasa perlawanan pertama di Amsterdam.

“Untuk dianggap sebagai yang terbaik di dunia, anda juga perlu memenangi sesuatu. Anda tidak boleh bermain baik untuk pasukan tapi hanya berakhir di tempat kedua, ketiga atau keempat.

“Anda perlu menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi gelaran untuk dianggap demikian,” kata Ferdinand.

Hadir ke Anfield pada Januari tahun lepas dengan yuran perpindahan 75 juta Pound sebagai pertahanan termahal dunia, van Dijk telah mengubah benteng Liverpool yang goyah dan rapuh sebelum ini.

Anak buah Jurgen Klopp hanya bolos 15 kali setakat ini dalam kancah Liga Perdana Inggeris musim ini, menyebabkan pemain kelahiran Belanda berusia 27 antara nama yang disebut untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA 2018.

“Virgil adalah pemain yang hebat, berpotensi menjadi yang terbaik dua dunia tapi, sekarang ini, tidak. Dan saya rasa dia mungkin setuju," ujarnya.

Namun, Ferdinand setuju bahawa situasi mungkin berubah sekiranya Liverpool menjulang piala Liga Perdana Inggeris musim ini.