Pada Jumaat telah berlangsung acara ONE: Masters of Destiny di ibu negara yang menyaksikan kemenangan kepada tiga atlet Malaysia - Jihin Radzuan, Ev Ting dan 'Jordan Boy' Mohammed Mahmoud.

Ia juga merupakan satu acara penting buat petarung Muay Thai negara, Saiful Merican.

Saiful yang terpaksa berehat selama dua tahun sebelum ini akibat kecederaan, ternyata gembira dapat meneruskan perjuangan dalam arena sukan tempur.

"Saya gembira dapat kembali bertarung di hadapan peminat Malaysia walaupun tangan saya tidak membenarkan saya bertarung 100% seperti dulu, ia membuatkan saya fobia," kata Saiful dalam satu muat naik di laman Instagramnya.

Saiful kali ini diberi tugas untuk bertemu Jordan Boy, seorang jaguh muda Muay Thai yang merupakan rakan senegaranya.

Keputusan pertarungan, bagaimanapun tidak menyebelahi Saiful.

"Banyak perkara berlaku secara tertutup semasa kem ini yang saya tidak kongsikan pada semua orang. Tetapi tidak kira apa yang anda lakukan, Allah sentiasa mempunyai rancangan yang lebih baik.

BACA: 'Jordan Boy' berjaya atasi halangan 'The Vampire'

BACA: Zul Ariffin, Aman RA iringi Jihin ke gelanggang kemenangan

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, pertarungan ini sangat bermakna untuk saya kerana itu adalah perjuangan menentang diri sendiri.

"Saya hanya mahu berada di sana untuk membuktikan diri saya masih mampu bersaing kerana dua tahun tidak bertarung adalah satu jangka masa yang lama. Tahniah kepada semua pemenang. Saya tidak akan memberi sebarang alasan dan jangan takut untuk gagal," katanya lagi.

Walaupun tewas, Saiful tetap positif dan mempunyai rancangan untuk kembali ke gelanggang tempur dalam masa beberapa bulan.

"Saya akan kembali lagi dalam masa beberapa bulan, dengan izin Tuhan. Terima kasih kepada semua yang datang malam tadi (Jumaat) walaupun ada daripada anda tidak dapat menonton pertarungan saya. Peminat Malaysia, awak memang hebat! Terima kasih kepada keluarga kecil saya kerana sentiasa berada di sisi saya. Dan kepada kawan rapat saya, terima kasih. Semoga anda semua terhibur dengan pertarungan saya," kata Saiful mengakhiri posting Instagramnya itu.

Dengan keputusan terbaharu ini, Saiful kini memegang rekod pertarungan Muay Thai sebanyak 94 menang dan 17 kalah.