REZEKI anak. Itu luahan bekas pertahanan Kelantan, Mohd Fitri Omar, yang berasa syukur selepas isu tunggakan gaji daripada majikan lamanya akhirnya selesai.

Setelah sekian lama dia memperjuangkan hak bersama rakan yang lain, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerusi Presidennya Tan Sri Annuar Musa akhirnya bersetuju melunaskan tunggakan sebanyak RM355,000 Jumaat lalu.

Fitri yang kini beraksi dengan Pulau Pinang gembira dengan perkhabaran itu dan harap perkara itu dapat menjadi pengajaran kepada persatuan bola sepak negeri lain.

Empat pemain lain yang turut senasib dengan Fitri ialah Amiridzwan Taj, Mohd. Nazri Ahmad, Ahmad Fakri Saarani dan Amar Rohidan.

"Alhamdulilah syukur, kami telah tunggu hampir setahun. Jadi, selepas mendapat maklumat itu saya amat bersyukur. Ini rezeki anak saya," jelasnya.

Bagaimanapun, dalam kegembiraan menerima tunggakan gaji sebanyak tiga bulan daripada KAFA, Fitri tetap kecewa kerana gagal membantu Pulau Pinang meraih kemenangan ke atas Selangor.

Satu mata yang dipungut tidak mencukupi bagi membawa skuad Harimau Kumbang itu keluar daripada zon penyingkiran.

"Kami kecewa kerana dari minit pertama sehingga hujung perlawanan kami bermain dengan agak kelam kabut, tidak seperti ketika kami berdepan T-Team tempoh hari," tambahnya.