Aksi Selangor-Pahang pada Sabtu turut dicemarkan tindakan segelintir penyokong Selangor, yang membakar suar dan mercun sejurus tamat perlawanan.

Lebih menarik, mereka turut menaikkan kain rentang mendesak Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Rosman Ibrahim serta Bendahari persatuan itu, Datuk S. Sivasundram dan penolong jurulatih, P. Maniam disingkirkan.

Ia memberi gambaran seakan sudah pun berlaku keretakan di kalangan pegawai dan tenaga kejurulatihan pasukan, walaupun ketua jurulatih, Mehmet Durakovic enggan memberi kenyataan mengenainya.

"Saya hanya mahu bercakap tentang bola sepak dan saya enggan mengulas apa-apa mengenai isu ini," ujar Durakovic.

Pengurus Selangor, Amirudin Shari menempelak tanggapan mengenai keretakan dalam pasukannya tetapi akui akan bersemuka bersama Durakovic dan Maniam untuk memastikan ikatan kekeluargaan dalam pasukan kekal ampuh.

"Saya akan bertemu dan berbincang dengan pasukan saya mengenai isu ini," ujar Amirudin.

"Keseluruhan pemain komited dan kekal positif, pada pendapat saya desas-desus ini dicipta hanya untuk memecah-belahkan pasukan ini," tambahnya.