Berita  | Sukan

Irfan perlu bertindak segera jika perlu dana - Karim

Irfan perlu bertindak segera jika perlu dana - Karim
Irfan juga dikehendaki mengemukakan sasaran untuk Kejohanan Austria dan Kejohanan Melempar Cakera Lativia, kedua-dua pada Mac ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin perlu mengemukakan dokumen yang dimohon oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) secepat mungkin bagi membolehkan badan induk itu memutuskan pembiayaan dana untuk atlet berkenaan.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, atlet berusia 23 tahun, yang berlepas ke Prague, Republik Czech atas tajaan sendiri, perlu mengemukakan kertas cadangan yang lebih terperinci bagi membolehkan KOM berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pembiayaan.

"Sekiranya beliau memerlukan dana, beliau harus bertindak segera dengan mengemukakan kesemua dokumen yang diperlukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Beliau berkata pihaknya telah meminta altet tersebut mengemukakan surat daripada Persekutuan Olahraga Republik Czech bagi pengesahan status jurulatih baharunya, Imrich Bugar serta pelan penjangkalaan sehingga Kejohanan Dunia di Doha, Qatar, September ini, Kejohanan Asia di Doha (April) dan Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Naples, Itali, Julai ini.
Di samping itu, katanya, atlet tersebut juga perlu mengemukakan sasaran yang dicadangkan untuk Kejohanan Asia iaitu lebih 62 meter (m) dan lebih 64m untuk Universiade.

"Sebaik sahaja kami menerimanya, baru kita boleh bincang dengan MSN sama ada kita boleh meluluskan dana atau sebaliknya," katanya.

Karim berkata pemenang pingat perak Kejohanan Asia itu juga dikehendaki mengemukakan sasaran untuk Kejohanan Austria dan Kejohanan Melempar Cakera Lativia, kedua-dua pada Mac ini.

Mengenai tindakan berlepas ke Prague untuk sesi latihan tanpa kelulusan KOM dan MSN, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis KOM bulan depan.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Irfan, pemenang emas Sukan SEA 2017, memerlukan lebih RM100,000 untuk menjalani latihan selama 85 hari di Eropah termasuk bayaran RM27,500 untuk jurulatihnya.

-- BERNAMA