Berita  | Sukan

Islam Makhachev, prospek baharu UFC dari Dagestan

Islam Makhachev, prospek baharu UFC dari Dagestan
Makhachev, 27, yang dilatih oleh bapa Khabib, mengumumkan dia telah bersedia untuk bersaing dengan petinju di ranking 'top 15' di UFC. - Foto Instagram/islam_makhachev
PETARUNG MMA lightweight Russia, Islam Makhachev membuktikan bahawa dia kini sudah bersedia untuk berdepan petarung terbaik UFC selepas menewaskan rakan senegaranya Arman Tsarukyan.

Aksi 'co-main event' UFC Fight Night 149 di St Petersburg pada awal pagi Ahad itu menyaksikan kedua-dua pertarung mempamerkan skil 'grappling' yang amat memberangsangkan.

Selain skil kuncian, Makhachev dan Tsarukyan turut mempersembahkan permainan yang laju, disertakan dengan skil serangan yang padu dari kedua-dua pihak.

Bagaimanapun pada penghujung pusingan kedua, pertarungan lebih dikuasai oleh Makhachev selepas Tsarukyan mula menunjukkan tanda-tanda keletihan.
Namun, itu tidak melemahkan Tsarukyan yang membuat penampilan sulungnya di UFC apabila dia terus memberi saingan sengit terhadap Makhachev.

Petarungan dibawa hingga ke akhir pusingan ketiga dengan keputusan sebulat suara 30-27, 30-27, 29-28 yang memihak kepada Makhachev.

Dengan kemenangan tersebut, Makhachev, 27, yang dilatih oleh bapa Khabib, mengumumkan dia telah bersedia untuk bersaing dengan petarung di ranking 'top 15' di UFC.

Keputusan itu turut melebarkan rekod kemenangan jaguh dari Dagestan itu kepada 17-1, beserta rekod kemenangan lima kali berturut-turut.

Makhachev juga merupakan bekas juara dunia gusti sambo dan rakan sepasukan juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov.

Sementara itu, dalam acara utama pula, petarung heavyweight dari Belanda, Alistair Overeem menundukkan petarung Rusia, Aleksei Oleinik.

Overeem, 38 tahun mengalahkan pesaingnya menerusi TKO pada minit 4.45 pusingan pertama.