Tutup

Berita  | Sukan

ISN adakan proses profiling Muhammad Azeem bulan depan

ISN adakan proses profiling Muhammad Azeem bulan depan
Ahmad Faedzal yakin Muhammad Azeem (gambar) seorang atlet berbakat besar dan dalam masa sama merupakan pelajar cemerlang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Permata baharu sukan olahraga tanah air, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dijangka menjalani proses 'profiling' di Institut Sukan Negara (ISN) pada Jun ini, bagi mengenal pasti ciri-cirinya sebagai atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli ketika ditemui Bernama berkata input daripada proses profiling atau menentukan pola tingkah laku itu, akan diserahkan kepada jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah untuk penambahbaikan terhadap teknik latihannya.
"Sudah pasti satu ujian fizikal akan dilakukan bagi tujuan profiling ini, termasuk ujian komposisi badan, kekuatan dan keseimbangan badan, 'muscle mass' serta amalan pemakanan bagi aspek sains sukan.

"Sementara, dalam aspek perubatan sukan, di peringkat awal ini kita akan jalankan satu pemeriksaan kesihatan yang lengkap sama seperti atlet lain," katanya di ISN, hari ini.
Ahmad Faedzal berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Muhammad Azeem dan jurulatihnya pada pertemuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Perak - yang merupakan sekolah sukan negeri, pada Isnin lepas.

Pada pertemuan itu, Majlis Sukan Negara (MSN) turut menawarkan remaja terpantas dunia itu di bawah program pelapis kebangsaan dan dibenarkan kekal berlatih di Ipoh.

Selain Muhammad Azeem, jurulatihnya turut ditawarkan program sama bagi membolehkan MSN menyelia dan memantau perkembangan remaja berumur 15 tahun itu.

BACA: 'Usain Bolt Malaysia' bukan sekadar jaguh kampung - Syed Saddiq

Mengulas lanjut mengenai atlet yang dianggap 'Usain Bolt Malaysia' itu, Ahmad Faedzal yakin Muhammad Azeem seorang atlet berbakat besar dan dalam masa sama merupakan pelajar cemerlang.

"Kita boleh nampak dia serba boleh, berbakat dari segi akademik dan sukan. Saya rasa beliau mampu untuk bagus dalam kedua-dua bidang itu. Pada pandangan saya, beliau seorang yang matang jika dibanding dengan usianya.

"Selepas ini, mengikut perancangan kita, beliau mungkin dihantar berlatih di luar negara dan pada masa sama menyambung pelajaran di sana jika beliau cemerlang dalam akademik," katanya yang menghormati keputusan Muhammad Azeem dan keluarganya untuk terus berada di Perak sehingga Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) selesai.

BACA: Macam 'The Flash': Remaja 15 tahun ini bakal jadi Usain Bolt Malaysia?

Untuk rekod, Muhammad Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200m menerusi catatan 21.24s pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, baru-baru ini.

-- BERNAMA