JURULATIH Chelsea, Marco Ianni, telah didenda GBP6,000 (RM31,880) oleh Persekutuan Bolasepak England (FA) susulan insiden melibatkannya dengan pengurus Manchester United, Jose Mourinho.

Jaringan minit akhir daripada Ross Barkley ketika Chelsea meraih keputusan seri 2-2 berdepan United 20 Oktober lalu melibatkan pertelingkahan antara Ianni, Mourinho serta pekerja di Stamford Bridge.

Ianni meraikan jaringan itu secara liar di depan bangku pengurus The Red Devils itu, membuatkan Mourinho memberi reaksi marah dan cuba untuk bersemuka dengannya di pintu masuk terowong pemain.

Bekas pembantu kepada Maurizio Sarri itu didenda akibat tingkah laku tidak sopan dan FA mengesahkan semalam dia telah menyatakan persetujuannya.

"Jurulatih Chelsea, Ianni, telah didenda RM31,880 selepas didapati menerima tindakan daripada FA," kata wakil badan itu.

"Ia melibatkan tindakannya di minit ke-96 sewaktu berdepan United, 20 Oktober 2018."

Bagaimanapun, Mourinho meminta agar pertimbangan dibuat semula terhadap Ianni selepas menerima permohonan maaf daripada pembantu jurulatih itu serta pengurus Chelsea, Sarri.

"Dia rasa dia berhak lebih daripada apa yang dijatuhkan," ujar Mourinho.

"Dia meminta maaf kepada saya dan saya menerimanya. Saya tidak rasa dia patut dipecat kerana berhak memiliki peluang kedua. Saya tidak fikir dia lebih layak daripada apa sahaja jika memikirkan kelab bersamanya.

"Saya harap orang lain juga berfikir sama seperti saya untuk tidak mengganggu karier seorang pemuda. Mungkin dia seorang lelaki yang baik serta jurulatih yang berpotensi.

"Penamat saya, dia telah meminta maaf. Biarkan dia meneruskan kerja. Semua orang melakukan kesilapan. Saya banyak melakukannya."