Jurulatih wushu negara, Yoong Thong Foong bimbang dengan nasib anak buahnya, Tai Cheau Xuen kerana Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWF) belum menjatuhkan hukuman selepas Cheau Xuen positif doping dua bulan lalu.

“Cheau Xuen kini umpama tiada hala tuju. Sejak dikesan positif 'sibutramine' hingga pingat emas Sukan Asia miliknya ditarik semula, dia lebih banyak menyepi.

“Lebih parah, IWF turut berdiam diri hingga menimbulkan persoalan, berapa lama dia akan digantung?

“Sekiranya kami berdepan dengan isu seperti ini, atlit yang terlibat pastinya akan terjejas dan sekiranya dia beritahu lebih awal, pastinya kami dapat mengurus dan merancang dengan lebih terperinci mengenai masa depannya,” kata Yoong.

Beliau berkata, sejak insiden itu, Cheau Xuen jarang turun berlatih dan kerap mengambil cuti. Ia sesuatu yang negatif memandangkan perjalanan atlit berusia 20 tahun ini masih lagi jauh dalam sukan wushu.

Yoong berharap IWF segera bertindak jika mahu menghukum anak buahnya.

“Ini merupakan masalah yang masih membelenggu kami. Kami harap IWF dapat memberi butiran terperinci mengenai isu ini samada dia dikenakan hukuman ataupun tidak,” katanya.