Berita  | Sukan

Isu Fitri Maskon: Integriti pengadil tidak perlu dipersoal hanya kerana tempat lahir - FAM

Isu Fitri Maskon: Integriti pengadil tidak perlu dipersoal hanya kerana tempat lahir - FAM
Antara aksi menarik dalam perlawanan kontroversi antara JDT dan Felda United pada Jumaat. - Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pengadil Fitri Maskon yang ditugaskan mengadili perlawanan kontroversi antara pendahulu Liga Super 2019 Johor Darul Takzim dengan Felda United didaftarkan di bawah Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA).

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP (B) Md Dali Wahid dalam satu kenyataan pada Sabtu menegaskan tempat lahir tidak boleh dijadikan modal bagi menentukan tahap integriti seseorang pengadil.

"Jangan hanya kerana beliau lahir di Johor, terdapat tanggapan atau persepsi bahawa integriti pengadil berkenaan telah dipengaruhi faktor terhadap negeri kelahirannya, sedangkan beliau hanya lahir di Johor tetapi berdaftar secara rasmi sebagai pengadil di Melaka dan turut bekerja di Melaka," katanya.

Pertembungan JDT dengan Felda di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada Jumaat, menyaksikan tiga layangan kad merah oleh Fitri terhadap pemain Felda United, selain lapan minit masa tambahan diberikan memberi kelebihan untuk JDT melakar kemenangan 3-1.
Menurut Md Dali, FAM sebelum ini tidak pernah melantik pengadil untuk mengadili sesuatu perlawanan itu berdasarkan negeri kelahiran mereka, sebaliknya mengikut negeri di mana mereka didaftarkan.

Katanya, dalam saingan musim 2019 ini terdapat beberapa perlawanan membabitkan pasukan negeri telah dikendalikan pengadil kelahiran negeri itu yang didaftarkan bersama persatuan bola sepak negeri lain.

Antara pengadil itu adalah Mohd Amirul Izwan Yaacob mengadili perlawanan membabitkan negeri kelahirannya, Kedah yang bertemu PKNS FC, Razlan Joffri Ali (Terengganu) menentang Perak dan Nazmi Nasaruddin (Kuala Lumpur) berdepan Pahang.

Mohd Amirul didaftarkan dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sementara Razlan Joffri dan Nazmi didaftarkan bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

"Kesemua mereka ini mengadili perlawanan yang melibatkan negeri kelahiran mereka tanpa sebarang pertikaian pun dan apa yang berlaku pada perlawanan JDT bertemu Felda United, malam tadi jelas bukanlah sesuatu perkara baharu yang perlu dijadikan isu oleh sesetengah pihak.

"Malah untuk pengetahuan semua sehingga perlawanan kelapan Liga Super diharungi JDT setakat malam tadi, FAM telah melantik lapan pengadil berbeza untuk setiap aksi membabitkan JDT. Ia sekali gus menangkis dakwaan FAM meletakkan pengadil tertentu secara berulang kali buat pasukan JDT," tambahnya.

Dalam pada itu, Md Dali berkata FAM sentiasa meneliti prestasi setiap pengadil dari semasa ke semasa demi meningkatkan mutu pengadilan liga tempatan.

-- BERNAMA

Tag: persatuan bola sepak malaysia, FAM, pengadil, fitri maskon, perlawanan kontroversi, JDT, felda united


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.