Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man enggan mengulas sebarang soalan mengenai Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Menurutnya, beliau bukan individu sesuai untuk mengulas kemelut PFA sekali gus mengakui tidak arif mengenai sukan itu.

Malah, beliau meminta supaya soalan berhubung status dan masa depan PFA tidak lagi diajukan kepadanya.

"Saya dah cakap kan, saya tak professional dalam bola… saya taknak cakap," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Anti Dadah Kebangsaan peringkat negeri di Dewan Perpustakaan Awam, Kangar.

Terdahulu, bekas penjaga gol V. Marimuthu Pilay atau Aya mendedahkan dia dan beberapa bekas pemain Singa Utara hairan bagaimana Azlan boleh kalah besar dengan individu yang tidak dikenali dalam pemilihan jawatan Presiden PFA.

Paling mengejutkan Azlan hanya menerima satu undi berbanding lima undi yang diraih pencabarnya.