Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail akan mengadakan mesyuarat tergempar Sabtu ini, sebelum mengadakan perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikan isu pengguguran sukan itu daripada program sukan teras negara dan Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Ahmad berkata, mesyuarat tergempar itu akan dihadiri semua anggota PSM dan juga Majlis Sukan Negeri-Negeri untuk mengumpulkan maklumat bagi menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, pihak kementerian harus bijak membezakan bahawa program sukan teras dan Sukma adalah dua perkara berbeza.

"Saya berasa ini sesuatu yang tidak kena dan tidak betul, malah saya anggap keputusan itu tidak bijak untuk menggugurkan sepak takraw. Selepas saya mendapat maklumat dari negeri-negeri, saya akan berjumpa dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail terlebih dahulu, sebelum membincangkan perkara tersebut dengan Khairy," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

BACA: Sepak takraw antara digugurkan daripada sukan teras negara

BACA: MSN jawab isu sepak takraw, angkat berat, taekwondo digugur dalam sukan teras

Ahmad berkata, sepak takraw mula dipertandingkan sejak penganjuran pertama Sukma, namun sukan berkenaan hanya disenarai dalam program sukan teras negara pada 2008.

"Saya berharap pihak kementerian akan mengkaji semula keputusan itu kerana sepak takraw merupakan satu-satunya sukan mula diwujudkan di rantau ini," katanya.

Media pada minggu lepas melaporkan, Khairy mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada 19 jenis sukan teras negara di bawah program MSN bermula Sukma Perak 2018.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Khairy, berikutan prestasi merosot tiga sukan berkenaan, selain terpalit isu doping serta kemelut kepimpinan dalam persatuan.

Ahmad berkata, penganjuran kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) dalam tempoh sembilan minggu lepas berjaya menarik lebih 5.3 juta penonton, yang jelas menunjukkan bahawa sukan tersebut masih diminati ramai.

"Tetapi apapun yang akan berlaku selepas ini, Sukma harus ada sepak takraw kerana setiap negeri telah membelanjakan kewangan yang besar untuk memajukan sukan ini," katanya.

Terdahulu, Ahmad yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang menerima sumbangan RM20,000 daripada kerajaan Pulau Pinang, atas kejayaan pasukan negeri berkenaan merangkul kejuaraan STL Piala Juara-juara 2017.

-- BERNAMA