SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, terkejut dengan perkhabaran Syazwan Andik Ishak sudah menyertai pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

JDT menjadi pasukan yang dikaitkan dengan Syazwan setelah ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengesahkan anak jati Johor itu tidak akan menyertai pasukannya.

Perkhabaran itu seakan-akan benar apabila gambar Syazwan sedang menjalani latihan bersama gergasi bola sepak tanah air itu tersebar luas di laman sosial.

Namun, sehingga kini KLFA masih belum menerima sebarang surat daripada mana-mana pasukan, termasuk JDT, yang mahu mendapatkan khidmat pertahanan kiri Harimau Malaya itu.

"Buat masa ini, kami belum menerima sebarang surat daripada mana-mana pasukan.

"Kami hanya menerima surat daripada Syazwan yang mengirimkannya menerusi jurulatih.

"Syazwan memohon untuk bertemu saya bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

"Namun, dia yang sepatutnya bertemu saya Rabu lalu tidak melakukan perkara itu, sebaliknya saya mendapat perkhabaran dia telah berada di Johor.

"Saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini dan hanya mahu berbincang dengan pihak JDT.

"Jika mereka mahukan pemain kami, mereka perlu melakukannya secara baik," katanya.

KLFA sebelum ini menetapkan nilai pampasan RM1.6 juta buat mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Syazwan.