Jaguh lompat tinggi Olimpik dari Rusia, Anna Chicherova, pada Rabu berikrar untuk membersihkan namanya selepas didapati positif dalam ujian doping di kejohanan Olimpik Beijing 2008, sekali gus menjejaskan penyertaannya di Rio.

Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) pada Selasa berkata, 14 atletnya yang beraksi di sukan Olimpik Beijing 2008, termasuk Chicherova dan sembilan lagi penyumbang pingat, didapati positif dalam ujian sampel baharu sewaktu kejohanan itu.

Perkembangan itu meletakkan Moscow dalam pertuduhan terlibat secara langsung dalam masalah berkenaan.

“Bagi saya, ini amat mengejutkan. Saya tidak dapat menjelaskan bagaimana perkara itu boleh terjadi,” ujar Chicherova, yang amat berharap dapat bersaing dalam Olimpik Rio pada Ogos jika pasukan Rusia dibenarkan menyertainya.

Chicherova pernah meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi Olimpik sewaktu penganjuran di London pada 2012. Di Beijing, dia mendapat pingat gangsa.

“Saya sentiasa yakin engan makanan tambahan dan ubat yang saya gunakan. Saya harap saya boleh membersihkan nama saya,” ujarnya kepada AFP.

Pengumuman itu dibuat selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mendedahkan, terdapat 31 atlet dari 12 negara gagal dalam ujian doping, berdasarkan sampel yang diambil semasa Olimpik Beijing sebelum ini.

Walaupun Rusia belum secara rasmi menamakan atletnya yang terlibat, satu senarai telah disiarkan melalui saluran Match TV dan Chicherova mengesahkan telah menerima pemberitahuan bahawa sampelnya menunjukkan bukti bahan terlarang.