REAL MADRID 3 PSG 1

Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, berkata pasukannya menunjukkan bahawa mereka tidak boleh dipandang ringan selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Adrien Rabiot memberi kelebihan kepada Ligue 1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 sebelum penyandang juara itu mempamerkan kebangkitan cemerlang.

Jaringan penalti Cristiano Ronaldo membawa kedudukan 1-1 sebelum bintang Portugal itu dan Marcelo masing-masing menyudahkan gol dalam masa tiga minit pada hujung perlawanan.

Kemenangan itu meletakkan skuad Zinedine Zidane dalam kedudukan selesa untuk berkunjung ke Parc des Princes bulan depan dan Ramos sangat bangga dengan usaha pasukannya.

"Ia adalah kemenangan penting," katanya seperti yang dipetik oleh AS. "Ini adalah hari Liga Juara-Juara untuk diingati. Ia adalah karakter terbaik ditunjukkan dan ini kemenangan penting.

"Kami mempunyai pasukan yang serius. Kami melakukan tugas dengan hebat dan keputusannya adil.

"Kami mempunyai keberkesanan di depan gol yang hilang dalam perlawanan lain. Tahniah kepada pasukan untuk tugas mereka.

"Tidak ada masa untuk menyesal. Walaupun dibolosi satu gol, kami terus mencari kemenangan menerusi watak dipamerkan. Jangan anggap Madrid sudah mati."

Madrid kini menjadi pasukan pilihan untuk mara tetapi PSG mempunyai rekod baik di laman sendiri setelah memenangi setiap perlawanan pada 2017-18.

Mereka juga mengatasi defisit 3-1 berdepan Madrid dalam suku akhir Piala UEFA pada 1993, memenangi perlawanan kedua 4-1 di laman sendiri untuk meneruskan laluan.

Dan Ramos tidak berasa pertembungan kedua-dua pasukan itu dianggap sudah berakhir.

"Kami perlu hormat, kami mengambil langkah yang sangat penting tetapi perlawanan ini terbuka," katanya.

Madrid akan berkunjung ke PSG untuk perlawanan kedua pada 6 Mac nanti.