Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan gergasi bola sepak Itali, Juventus telah bersetuju untuk bekerjasama selepas perbincangan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pengerusi Juventus, Andrea Agnelli.

Pertemuan antara kedua-duanya berlangsung di Royal Park I Roveri pada Jumaat, 8 Mac 2019.

Agnelli menjemput Tunku Ismail untuk santapan tengah hari, di mana kedua-dua individu penting dalam membuat keputusan pasukan tersebut berbincang mengenai cara bagaimana kedua-dua kelab boleh menjalinkan kerjasama.

Pasukan Harimau Selatan itu akan menghantar satu delegasi ke Turin dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kolaborasi yang akan dijalinkan.

JDT cukup berminat untuk memperluaskan wawasan mereka ke Itali serta mendapatkan pandangan bernilai dari kelab paling berjaya di Itali. Juventus telah memenangi 34 kejuaraan Serie A.