Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2019 dengan agregat 5-1 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam saingan suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, JDT yang memiliki kelebihan jaringan 1-0 di tempat lawan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddun Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu, membuka jaringan seawal minit ke-16 melalui sepakan penalti oleh Gonzalo Cabrera.

Sepakan penalti itu dihadiahkan oleh pengadil selepas Corbin Ong dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain lawan, Nasrullah Haniff Johan.

Pada minit ke-22, giliran Muhammad Safawi Rashid pula menambah jaringan buat JDT melalui sepakan percuma, sebelum merembat satu lagi gol pada minit ke-36 hasil umpanan cantik penyerang Brazil, Diogo Luis Santo.

Skuad Sang Penyu yang sudah cukup tertekan dengan jurang gol yang dijaringkan lawan terus dihukum pada minit ke-39 apabila Cabrera sekali lagi muncul wira meledakkan gol keempat buat pasukannya.

Masih tidak berputus asa, Terengganu kemudiannya berjaya menemui rentak apabila mencipta jaringan pertama mereka pada minit ke-45 menerusi kapten, Lee Andrew Tuck.

Bersambung babak kedua, JDT tampil dengan aksi lebih bertenaga dengan harapan dapat mencari lebih banyak gol manakala Terengganu pula berhasrat untuk mengurangkan defisit.

Bagaimanapun, usaha mereka tidak membuahkan hasil apabila keputusan kekal 4-1 sehingga tamat perlawanan.

-- BERNAMA