SKUAD Pahang bimbingan Dollah Salleh kini mendahului carta Liga Super selepas tiga perlawanan, di sebalik Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak beraksi kerana terbabit dengan play-off Liga Juara-Juara AFC, Selasa ini.

Kehadiran semula Dollah di Pahang jelas memberi nafas baru kepada skuad Tok Gajah musim ini selepas mencatat dua kemenangan dan satu seri.

Perak turut tampak konsisten setakat ini selepas kemenangan 3-2 ke atas Melaka di Ipoh untuk berada di tangga kedua, diikuti juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah, di tangga ketiga selepas mengikat Felda United 1-1 di Jengka.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, JDT masih menjadi pasukan pilihan dan dijangka kembali mengukuhkan kedudukan liga apabila berdepan Selangor di Larkin, Sabtu depan.

"Sedia maklum JDT antara pasukan yang paling konsisten, termasuk dalam melakukan serangan kerana dengan kemasukan tiga pemain import baru, taktikal JDT lebih berlainan," kata bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri.

"Saya pasti JDT akan mendominasi liga kerana pengalamannya di Jepun memberi kelebihan kepada mereka.

"Pengalaman itu akan digunakan sebaik mungkin oleh pemain dan memberi saingan sengit kepada pasukan yang berada di tangga teratas ketika ini," kata Hasnizam Uzir pula.

Pahang dan Kedah pula dilihat pemerhati sebagai barisan yang mampu memberi saingan kuat buat JDT sehingga akhir musim.

"Satu kejutan daripada pasukan Pahang. Di bawah bimbingan Dollah Salleh, peningkatan prestasi mereka begitu ketara. Saya mendapati Kedah turut menunjukkan permainan yang begitu konsisten dalam tiga perlawanan terdahulu," tambah Hasnizam.

Berbeza dengan saingan sebelum ini, musim 2017 menyaksikan kecemerlangan beberapa penyerang berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali kembali menyinar dalam kalangan penjaring gol.

"Sebenarnya, pemain tempatan yang menyerlah ketika ini adalah daripada kalangan pemain berpengalaman, bukannya pemain muda.

"Kali ini agak berbeza kerana pemain tempatan sudah mampu menyaingi prestasi pemain import," tambah Asmawi.

Kita mengharapkan saingan Liga Super terus menarik selepas ini, dengan pasukan di tangga pertengahan dan bawahan liga kembali bangkit bagi terus menghangatkan saingan musim ini.

Sudah pasti peminat juga mahu melihat penyerang tempatan kita turut kekal konsisten dalam kalangan penjaring utama musim ini.