Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta''zim (JDT) mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir zon ASEAN bagi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) setelah menang selesa 3-1 ke atas wakil Myanmar, Magwe FC pada aksi terakhir kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengiringi juara Kumpulan F, Global FC dari Filipina yang turut mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas wakil Kemboja, Beoungket Angkor FC dalam satu lagi aksi di laman sendiri.

Pada aksi di Larkin, penyerang import dari Argentina, Gabriel Guerra muncul wira JDT apabila meledak hatrik untuk membantu skuad Harimau Selatan meraih tiket ke separuh akhir zon ASEAN.

JDT bagaimanapun ketinggalan seawal minit ketiga setelah Kyaw Swar Linn menanduk masuk hantaran daripada rakan sepasukan sebelum Guerra menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-15 menerusi percubaan cantik daripada luar kotak penalti yang menerjah penjuru kanan gawang gol Magwe FC.

Guerra terus mempamerkan ketajamannya selaku penggempur berbisa JDT apabila menanduk masuk bola hantaran daripada rakan sepasukan, Safiq Rahim pada minit ke-58 sebelum menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78 untuk mengesahkan kemenangan bermakna untuk pasukan tuan rumah.

JDT dijadualkan menentang juara Kumpulan G, Ceres Negros FC dari Filipina pada aksi separuh akhir zon ASEAN yang menggunakan format timbal-balik pada 17 dan 31 Mei ini.

Dalam pada itu, cabaran satu lagi wakil negara Felda United berakhir setelah kalah 1-4 kepada wakil Vietnam, Hanoi FC pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium My Dinh, Hanoi.

Empat gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Pham Duc Huy pada minit ke-52, Nguyen Van Quyet (76'' dan 86'') dan Do Hung Dung pada minit ke-90 sebelum pemain import dari Argentina, Gaston Cellerino Grasso merapatkan defisit jaringan untuk Felda United menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

-- BERNAMA