JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) telah mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo dari juara Liga Thailand 2018, Buriram United.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest berkata mereka telah memantau pencapaian pemain kelahiran Sao Paulo itu yang mencuri perhatian mereka semasa aksi jelajah pra musim kelab tersebut di Thailand pada 2017.

"Kami telah memantau prestasi pemain tersebut sejak itu. Beliau adalah sebahagian daripada kemenangan Buriram dalam liga 2018 dan mempunyai rekod sebagai penjaring gol terhandal di Thailand, dengan meraih dua anugerah Kasut Emas dalam masa empat tahun.

"Kami mempertimbangkan Diogo selepas JDT beraksi dengan Buriram dalam perlawanan persahabatan pada 2017 tetapi kos adalah faktor bagi kelab tersebut tidak menyambar Diogo ketika itu," Prest dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang JDT: www.johorsoutherntigers.com.my.

Prest berkata pasukan itu percaya kemasukan pemain Brazil berusia 31 tahun itu akan menyuntik kekuatan kepada skuad Harimau Selatan yang akan mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia bagi musim kelima berturut-turut dan juga penampilan sulung skuad itu dalam cabaran Liga Juara-Juara Asia 2019.

"Beliau juga serasi dengan corak pemainan yang hendak dipamerkan oleh JDT," kata Prest.

Kemasukan Diogo menyaksikan JDT telah melengkapkan kuota pemain import selepas mengikat pemain dari Sepanyol Aaron Niguez dan pemain kelahiran Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento, baru-baru ini.

JDT telah mengekalkan khidmat pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun dan juga pemain Argentina, Gonzalo Cabrera yang mengisi kuota Asia bagi kempen Liga Malaysia.

Kelab tersebut mengatur tiga perlawanan pra musim di Thailand, iaitu menentang Ratchaburi Mitrphol FC pada 17 Jan, Bangkok United FC (20 Jan) dan PTT Rayong FC, tiga hari kemudian.

Sebelum jelah pra musim, JDT akan menentang Home United dari Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Larkin pada 11 Jan.

-- BERNAMA