Berita  | Sukan

JDT sedia berunding dengan Muhammad Syazwan

JDT sedia berunding dengan Muhammad Syazwan
JDT akan berbincang dengan Syazwan sama ada pemain itu ingin kembali kepada Harimau Selatan. - Instagram @syazwanandik
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) menyuarakan hasrat ingin mendapatkan khidmat bek kiri kebangsaan, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak.

Pengarah Kesukanan JDT, Martin Prest berkata mereka sedia berunding dengan pemain kelahiran Johor itu yang mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya sekarang dengan Kuala Lumpur berikutan gaji selama dua bulan pemain itu masih tertunggak.
"Kami akan berbincang dengan Syazwan sama ada beliau ingin kembali kepada Harimau Selatan. Kelab ini berharap akan dapat mencapai satu persetujuan dengan Syazwan secepat mungkin," Prest berkata demikian di dalam laman Facebook rasmi JDT, hari ini.

Muhammad Syazman dalam catatan di laman Instagramnya Jumaat lepas mendedahkan keputusannya meninggalkan Kuala Lumpur selepas pasukan itu dilaporkan gagal membayar gajinya untuk bulan November dan Disember tahun lepas.

Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini beraksi untuk JDT II dari 2016 hingga 2017 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, musim lepas.

Kehebatan aksinya dengan skuad kebangsaan pada Piala AFF Suzuki 2018 menarik perhatian beberapa pasukan tempatan yang berminat mendapatkan khidmat beliau.

-- BERNAMA

Tag: johor darul ta'zim, JDT, muhammad syazwan andik ishak, martin prest, bola sepak, harimau selatan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.