Pasukan Jelly Fish telah merangkul kejuaraan Liga Paintball Terbuka Malaysia 2017 (MOPL) siri pertama yang bertempat di Xtion Paintball, Bukit Jalil selepas menundukkan pasukan Kejahatan Aisawan dalam perlawanan akhir 30 April lalu.

Set pertama menyaksikan pertempuran sengit antara kedua-dua pasukan namun Jelly Fish berjaya memperoleh mata setelah menumbangkan kelima-lima pemain Kejahatan Aisawan dalam masa 4 minit 54 saat.

Bersambung di set kedua, Kejahatan Aisawan yang tidak mahu memberi laluan mudah, cuba menyamakan kedudukan dengan melakukan Tactical Blizt tetapi perlawanan yang hanya berbaki 6 saat ternyata tidak menyebelahi mereka.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0.

Pasukan Jelly Fish mengabadikan kemenangan mereka. - Foto: Wan Mad Photography / AX MEDIA

Pandawa Jogja Aisawan dari Indonesia menyertai  Liga Paintball Terbuka Malaysia 2017. - Foto Wan Mad Photography / AX MEDIA

Sementara itu, Kapten Pasukan Pandawa Jogja Aisawan dari Indonesia, Wahyu Mohamad, yang menyertai MOPL 2017 berkata liga ini memberikan mereka banyak pendedahan dari segi taktikal untuk mereka bawa ke liga di Indonesia.

"Ini kerana pasukan-pasukan paintball di Malaysia yang bertanding mempunyai pengalaman yang luas dan mempunyai taktikal yang berbeza serta pemain-pemain yang berkualiti,” ujarnya.

Dalam kejohanan itu, pasukan Black CCP menduduki tempat ketiga.

Ollie Lang (dua dari kiri) berkongsi kemahirannya dengan para peserta paintball. - Foto: Wan Mad Photography / AX MEDIA

Dalam pada itu, pada 22 dan 23 April lalu telah berlangsung Klinik Paintball anjuran Pals Event Sdn Bhd, yang dikendalikan pemain paintball profesional Amerika Ollie Lang.

Dalam sesi klinik tersebut, Lang berkongsi beberapa tip dan tunjuk ajar teori serta praktikal kepada peserta yang hadir, terutama dari segi bahagian penyerang dan pertahanan.

Semua peserta kejohanan meraikan keseronokan bersama selepas perlawanan berakhir. - Foto: Wan Mad Photography / AX MEDIA