Tutup

Berita  | Sukan

Jika kata bola tidak terkena tangan, saya menipu - Marcelo

Jika kata bola tidak terkena tangan, saya menipu - Marcelo
Marcelo bernasib baik tidak dihukum kerana bola terkena tangannya dalam separuh masa pertama. - Foto Astro ARENA
MARCELO mengakui bola terkena tangannya dalam kawasan penalti di sebalik rayuan Bayern Munich ketika Real Madrid memastikan kemaraan ke final Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Juara bertahan itu menempah tiket ke Kiev selepas terikat 2-2 dalam aksi timbal balik separuh akhir di Santiago Bernabeu awal pagi tadi yang menyaksikan gergasi Sepanyol itu meraih keputusan agregat 4-3.

Kejayaan itu diselitkan dengan kontroversi selepas bek kiri Madrid, Marcelo, bernasib baik tidak dihukum kerana bola terkena tangannya dalam separuh masa pertama.

Dengan kedudukan terikat 1-1 hasil Joshua Kimmich -- yang membuka jaringan pada minit ketiga -- membuat hantaran silang dari sayap kanan sebelum bola terkena tangan Marcelo.
"Jika saya beritahu kamu ia (bola) tidak terkena tangan saya, saya menipu," kata Marcelo selepas itu.

Sementara itu, Karim Benzema nyata menyinar tepat pada masanya buat Madrid walaupun menjaringkan gol di atas kesilapan penjaga gawang Bayern, Sven Ulreich.

Tandukan jarak dekat Benzema mengimbangi jaringan pembukaan Kimmich dan pemain Perancis itu sekali lagi meledak hanya 21 saat selepas memulakan babak kedua ketika Ulreich melakukan kesilapan, sekali gus memberi peluang kepada Madrid mendahului 2-1.
James Rodriguez -- dalam tempoh dua tahun pinjaman dari Madrid -- menyamakan kedudukan selepas sejam tetapi Bayern gagal memburu gol ketiga yang akan membawa mereka ke perlawanan akhir pada 26 Mei ini.

"Saya sangat gembira dengan Keylor (Navas) dan Karim, mereka berhak mempunyai perlawanan seperti ini. Bola sepak kadang-kadang sukar, kamu beraksi baik dan gagal, saya gembira untuk mereka," tambah Marcelo.

"Saya tidak fikir Karim melupakan bebannya, dia banyak membantu pasukan kami. Kami semua mempunyai hari yang buruk. Dalam bola sepak, satu hari kamu menjaringkan dua gol dan kemudiannya gagal, beberapa hari lain mereka memuji kamu dan selebihnya mengejek kamu. "




Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro