Peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron merancang pertarungan bertaraf 5 bintang di Johor Bahru, pada Disember berdepan peninju Australia merebut kejuaraan Tengku Mahkota Johor.

Syarikat pemasaran Farkhan, FH Promotion mahu mengadakan pertarungan besar-besaran itu dengan matlamat untuk mengukuhkan jenama peninju profesional negara.

Perlawanan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pertarungan tersebut akan menjadi yang terbesar buat Farkhan selepas bergelar profesional Mac lalu.

"Perlawanan ini melibatkan lebih 8 negara termasuk Malaysia dan kejohanan ini akan merebut tali pinggang kejuaraan Tengku Mahkota Johor," katanya.

Ketika ini, Farkhan sedang mempersiapkan dirinya untuk bertemu wakil Thailand di Jakarta dimana ia merupakan misi wajib menang bagi menjamin moral tinggi menuju perlawanan pada Disember nanti.

Jika pertarungan berjalan lancar, ia akan dilihat sebagai kejohanan terbesar pernah diadakan di Malaysia sejak Muhammad Ali menewaskan Joe Bugner di Stadium Merdeka pada tahun 1975.