Atlet muda Muay Thai negara, ‘Jordan Boy’ Mohammed Mahmoud berjaya memenangi pertarungan sulungnya di kejohanan ONE Super Series, di ibu negara Jumaat malam.

Mohammed menewaskan petarung dari Greece, Stergios Mikkios menerusi pukulan ‘knockout’ pada minit 2:20 pusingan pertama.

Pada awal pusingan pertama, pertarungan kategori bantamweight itu, Mohammed dilihat mempamerkan skil yang berbisa terhadap lawannya, menggunakan ‘senjata’ sikunya yang tajam.

Jordan Boy (kiri) mengasak lawannya Stergios Mikkios di kejohanan ONE Super Series, Jumaat malam. - Foto ONE Championship

Kombinasi tumbukan dan tendangan yang bertubi-tubi oleh Mohammed, berjaya menjatuhkan Stergios untuk seketika.

Namun tumbukkan padu tangan kanannya pada minit kedua, memberi kemenangan kepada Mohammed apabila lawannya tidak dapat meneruskan pertarungan.

BACA: MMA: Jihin lakar kemenangan bergaya untuk Malaysia

Kemenangan itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh dari peminat-peminat tempatan yang memenuhi Stadium Axiata, Bukit Jalil.