HAMPIR tiga bulan di Old Trafford, tampil dalam lapan perlawanan namun Alexis Sanchez baru catat satu gol.

Prestrasi hambar ini sekaligus gagal menepati reputasi selaku pemain yang menerima gaji paling tinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagi Jose Mourinho prestasi kurang menjadi Sanchez itu berpunca waktu perpindahan yang salah.

"Apa yang silap adalah dia hadir pada detik yang teruk pada sesebuah musim, iaitu perpindahan musim sejuk.

" Saya fikir ia satu peluang yang tidak mahu kami lepaskan dan terus menyambarnya namun kami tidak begitu percaya pada pasaran musim sejuk,” kata pengurus Manchester United itu.

Sanchez dibawa masuk menerusi kontrak secara pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan. Bagaimanapun bintang skuad kebangsaan Chile itu beraksi di bawah keupayaan sebenar.

Asas ukurannya Sanchez meninggalkan The Gunners dengan rekod cemerlang 30 jaringan dalam 51 penampilan musim lalu.

Kehadiran Sanchez juga dikatakan jadi punca merosotnya prestasi rakan sepasukan terutamanya pemain tengah Paul Pogba.

Bagaimanapun di sebalik masalah baru itu, Mourinho tidak melihat Sanchez sebagai kelemahan dalam skuad The Red Devils.

"Saya tidak fikir ia satu kelemahan, saya menganggapnya satu potensi besar yang perlu digilap," jelas pengurus kelahiran Portugal itu.

Mourinho percaya pemain berusia 29 tahun itu mampu mempamerkan aksi terbaiknya sebelum musim depan.