SELEPAS berjaya mengekalkan gelarannya pada aksi UFC 230, juara heavyweight dunia Daniel Cormier sekali lagi membuat cabaran ke atas bintang gusti WWE, Brock Lesnar.

Cormier, 39 tahun, sebelum ini pernah mencabar Lesnar yang merupakan juara heavyweight dunia WWE dan juga bekas juara heavyweight dunia UFC selepas menenangi gelarannya pada UFC 226.

“Brock Lesnar, bila kamu datang sini nanti (ke UFC), bawa gelaran baru WWE kamu itu sekali kerana saya pun nak jadi juara WWE juga.

“Brock, mari. Bawa tali pinggang itu sekali jika kamu datang ke rumah saya,” katanya sejurus selepas pertarungannya dengan Derrick Lewis di Madison Square Garden, New York hari ini.

BACA: UFC 230: Cormier kekalkan takhta heavyweight, Chris Weidman kalah TKO

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada pertarungan ini mampu direalisasikan ataupun tidak kerana Lesnar masih dalam tempoh penggantungan oleh WWE.

Lesnar, 41 tahun, mula bergiat dalam sukan seni bela diri campuran (MMA) pada 2007 selepas bersara seketika dari gusti.

Dia mula bertarung dalam UFC pada 2008 dan berjaya memenangi empat pertarungan, serta menjadi juara heavyweight dunia UFC pada November 2008 selepas mengalahkan Randy Couture.

Kali terakhir dia bertarung ialah pada Julai 2016, yang menyaksikan Lesnar menang menerusi keputusan pengadil pada pusingan ketiga.

Namun, kemenangan itu ditarik balik oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC) selepas Lesnar didapati gagal ujian doping.

Terdahulu, dalam aksi UFC 230, Cormier berjaya mempertahankan takhta heavyweight yang dimilikinya selepas mengalahkan Lewis pada pusingan kedua.

Juara dunia UFC dua divisyen dari Amerika Syarikat itu menundukkan rakan senegaranya menerusi ‘submission’ (kuncian) ‘rear naked choke’.

Kemenangan ini melebarkan lagi rekod professional MMA Cormier kepada 22-1.