PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, menyarankan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan syarat penerimaan lebih ketat buat jurulatih import dalam Liga Malaysia (Liga M).

Beliau mengakui sebelum ini terdapat juga jurulatih import yang kurang berkelayakan diambil pasukan Liga M.

Katanya, pengambilan jurulatih import yang tidak mempunyai kelayakan atau pencapaian yang meragukan tidak akan meninggalkan kesan positf buat bola sepak negara.

"Bagi saya, jika kita membenarkan jurulatih asing datang, kita mahukan kepakaran. Faham?

"Kami mahu tulis kepada FAM, jangan ambil sembarangan orang. Kami tidak mahu ambil jurulatih yang (hanya) mempunyai lesen daripada UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah), (tetapi) bekerja dalam divisyen keempat.

"Kita tidak boleh benarkan mereka menjadi ketua jurulatih liga profesional kita. Kita tidak sepatutnya membenarkannya," katanya dalam Simposium Kejurulatihan Bola Sepak Belia anjuran PJBM di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Ahad.

Dalam pada itu, Sathianathan menyarankan pemain yang baru bersara dan ingin menjadi jurulatih harus bermula pada peringkat remaja dan akar umbi.

Jelasnya, hanya dengan cara itu seorang bekas pemain mampu mendalami ilmu kejurulatihan dan mengukuhkan kredibiliti sebagai jurulatih.

"Kita perlu bekerja di peringkat akar umbi dahulu. Saya tidak kisah jika (dia) pemain kebangsaan, pemain negeri tetapi dia mesti memahami banyak perkara yang dipelajari di peringkat akar umbi. Selepas itu, barulah kamu naik," katanya lagi.