Semangat kental jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang sebelum ini kritikal akibat jangkitan paru-paru, akhirnya membuahkan hasil apabila beliau mula menunjukkan perkembangan positif.

Mohd Puad hari ini memberi respon yang baik seperti sudah mula membuka mata, dan membuat beberapa pergerakan tangan.

Ketua Jurulatih Olahraga, Zainal Abas berkata, bagaimanapun Mohd Puad masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan perlu meneruskan rawatan terbaik.

“Rawatan perlu diteruskan kerana pada ketika ini yang penting untuk kita sembuhkan jangkitan kuman agar beliau dapat pulih sepenuhnya walaupun respon dah ada, dah mula sedar.

“Kita harapkan beliau akan meneruskan rawatan terbaik untuk memastikan beliau pulih, saya harus puji semangat kental yang ada pada beliau, walaupun dalam keadaan sukar. Sebelum saya bergerak keluar kita boleh nampak beliau sembahyang, Its a positive sign, semangat kental tu ada,” katanya ketika ditemui media selepas membuat lawatan terhadap Mohd Poad.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan kesemua atlet dibawah jagaan Mohd Puad turut bimbang dan merasai ketiadaan jurulatih , namun latihan akan diteruskan dengan perancangan yang telah disiapkan oleh Mohd Puad dan akan dikendalikan oleh jurulatih yang berada di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, (SSTMI) Bandar Penawar untuk memantau latihan .

Katanya lagi, sepanjang Mohd Puad dirawat, jadual tidak akan terganggu kerana perancangan latihan kini berada pada fasa persediaan yang mengfokuskan kepada stamina atlet.

Mohd Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Antara kejayaannya adalah melahirkan juara Sukan SEA yang juga pemegang rekod 100 dan 200 meter kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan.