Bekas perenang Olimpik, Bart Kizierowski, menolak tawaran untuk menjadi jurulatih pasukan renang kebangsaan Malaysia susulan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melarang atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Menurut laporan Channel News Asia, jurulatih warga Poland itu muat naik status di Facebooknya menyatakan bahawa dia menolak "tawaran yang agak menarik" jawatan jurulatih renang kebangsaan Malaysia disebabkan kenyataan yang dibuat oleh Kerajaan yang enggan meluluskan visa bagi atlet Israel.

"Tidak ada tempat untuk perkara seperti itu dalam sukan," katanya pada Khamis lalu, sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan renang kebangsaan kerana memberi kepercayaan dan menawarkan peluang berkenaan kepadanya.

Sebelum ini, Malaysia menetapkan pendirian untuk tidak menerima penyertaan atlet Israel dalam kejohanan sukan antarabangsa yang dianjurkan di negara ini.

Pendirian Malaysia juga telah menyebabkan hak penganjuran kejohanan yang akan diadakan di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos itu dilucutkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Ahad lalu.

Kizierowski merupakan bekas pemenang Kejuaraan Dunia dalam kategori gaya bebas 50 meter lelaki dan pernah mewakili negaranya di empat kejohanan Olimpik.

Dia kini berkhidmat sebagai jurulatih di Sepanyol sebelum ditawarkan jawatan jurulatih pasukan renang di Malaysia bagi menggantikan jurulatih Australia, Paul Birmingham Thomas.