JUVENTUS 3 ATLETICO MADRID 0
(Juventus mara dengan agregat 3-2)

Leonardo Bonucci berkata Juventus mempamerkan "keberanian" mereka untuk menghasilkan kebangkitan dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Atletico Madrid membawa kelebihan 2-0 ketika bertandang ke Turin selepas pertembungan pertama pusingan 16 itu tetapi hatrik Cristiano Ronaldo pada awal pagi tadi menghantar Juve ke peringkat suku akhir.

Laporan mencadangkan Juve sedang mempertimbangkan untuk memecat pengurus, Massimiliano Allegri, menjelang aksi timbal balik itu itu ekoran kemampuannya diragui.

Begitupun, Allegri menjawab kritikan tersebut apabila menyaksikan Ronaldo dan Juventus menghasilkan prestasi luar biasa dengan tidak membenarkan Atleti melancarkan satu percubaan tepat pun di Turin.

"Ia adalah malam yang hebat untuk peminat Juventus," kata Bonucci kepada Sky Sport Italia.

"Banyak perkara yang diperkatakan selepas pertemuan pertama dan beberapa hari terakhir ini. Namun, Juve sentiasa bertindak balas di lapangan.

"Kami mempunyai empat peluang dan menyempurnakan tiga daripadanya. Mereka melakukan hal sama dalam pertemuan pertama, mempunyai dua peluang dan menyumbat kedua-dua golnya.

"Kami meletakkan keberanian kami ke dalam perlawanan ini. Atleti telah kehilangan pemain, begitu juga dengan kami. Leonardo Spinazzola mempamerkan prestasi cemerlang dalam situasi yang luar biasa."

Juve dikritik selepas persembahan hambar dalam aksi pertama tetapi Bonucci mendakwa pasukan kendalian Allegri itu telah membuktikan bahawa mereka sangat bermotivasi menerusi keputusan ini.

"Apa yang diperkatakan orang ramai telah mengguris hati kami sebagai manusia dan ia memacu kami," tambah pertahanan Itali itu.

"Pendekatan taktikal kami adalah dengan memberi tekanan dari bahagian sayap dengan mengarahkan Spinazzola dan (Joao) Cancelo agar terus meletakkan pertahanan sayap mereka berkampung di kubu sendiri.

"Kami mempunyai pengurus yang hebat yang memimpin kami ke peringkat suku akhir. Kami tahu ini adalah bola sepak, orang tidak sabar-sabar menantikan kesilapan anda tetapi pengurus kami dan Juve berkemampuan untuk mengatasinya.

"Ia bukan mudah tetapi kami telah menyempurnakan kebangkitan ini. Situasi ini akan menjadi dorongan buat kami untuk berjuang sehingga ke final Jun depan ."