PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) sekali lagi akan membuat rombakan besar-besaran ke atas skuad itu untuk mengharungi Liga Malaysia yang lebih mencabar pada musim depan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, menerusi akaun Facebook miliknya malam tadi, berkata dalam kelompok sembilan pemain yang akan tamat kontrak pada musim ini, hanya beberapa pemain sahaja dikekalkan.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana jurulatih, Velizar Popov, mahu membawa pemain baru di beberapa posisi untuk memperkuatkan lagi The Red Warriors.

"Hanya lapan atau sembilan orang saja dari skuad TRW16 (The Red Warriors 2016) yang tamat kontrak musim ini. Yang lain semua kekal.

"Dari sembilan yang tamat tidak semua dapat kita tawarkan kontrak baru kerana Popov mahu membawa masuk beberapa tenaga baru di posisi tertentu dan kita telah serahkan kepada beliau menentukan," katanya.

Difahamkan pemain yang bakal tamat kontrak pada hujung musim ini adalah Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd Norfarhan Muhammad, Brendan Gan dan Mohd Noor Hazrul Mustafa.

Kontrak tiga pemain import iaitu Blazhe Ilijoski (Macedonia), Jonathan Mckain (Australia) dan Wander Luiz Bitencourt Junior (Brazil) yang turut tamat dijangka tidak disambung manakala Margaro Gomis (Perancis) hampir pasti kekal berdasarkan kontraknya yang masih berbaki sehingga hujung tahun depan.

Annuar turut memberi jaminan, Popov diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih pemain, sambil beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kesukaran kewangan dihadapi skuad itu.

"Urusan pemain biarlah jurulatih fikirkan. Kami kena fikirkan di mana lagi nak cari wang untuk kami boleh terus main bola seperti orang lain."

Bagi meneruskan persiapan musim 2017 di dalam musim tengkujuh pada penghujung tahun ini, Annuar bercadang untuk menghantar skuad itu berlatih di luar negara.

"Skuad 2017 dirancang melapor diri kepada Popov pada 20 November. Musim hujan bulan Disember, TRW akan dihantar berlatih dua minggu di luar negara dari 1-15 Disember. Liga dijangka bermula pertengahan Januari. Insyaallah," katanya.