PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan tidak akan merehatkan Ketua Jurulatihnya, Zahasmi Ismail ekoran daripada tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini sebaliknya terus memberi sokongan padu bagi memulihkan prestasi pasukan.

Setiausaha Agung, Datuk Ismail Md. Noor menjelaskan, satu pertemuan tertutup antara Pemangku Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah dengan ketua jurulatih telah diadakan di Wisma KAFA, petang kelmarin ekoran daripada prestasi buruk TRW.

“Pihak pengurusan merasakan satu post mortem perlu dibuat serta merta untuk mendengar sendiri masalah yang membelenggu pasukan sehingga kita kalah tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri.

“Setakat ini, KAFA mempunyai kepercayaan penuh bahawa ketua jurulatih dapat memulihkan skuad dengan sumber yang ada. Kami memberi kuasa penuh kepada Zahasmi untuk melakukan apa-apa yang perlu demi kebaikan pasukan," katanya kepada media.

Ditanya mengenai desakan penyokong supaya Zahasmi direhatkan akibat prestasi buruk Kelantan di gelanggang sendiri, Ismail menjelaskan KAFA mendengar semua pandangan yang diberikan tetapi setakat ini masih percaya kepada kredibiliti ketua jurulatihnya.

“Kita menghormati pandangan peminat (desakan merehatkan Zahasmi) tetapi KAFA percaya dalam suasana begini kita mempunyai banyak pengalaman dalam soal penukaran jurulatih. Pengalaman yang lepas banyak memberi pengajaran kepada kita.

"Buat masa ini, jurulatih perlu diberi keyakinan dan kekuatan untuk pulihkan TRW,” katanya.