Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sah mendapatkan khidmat pemain Jepun, Yuta Suzuki untuk memperkuat skuad 'The Red Warriors' bagi menghadapi Liga Malaysia 2019.

Menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya Kafa memaklumkan pemain berusia 28 tahun itu dibawa masuk melalui memorandum persefahaman dengan satu daripada penaja Kafa, Yakult mengikut perjanjian pakej penajaan.

Yakult merupakan syarikat pengeluar minuman susu kultur probiotik yang berpangkalan di Jepun.

"Mengikut perjanjian, Yuta akan ditanggung sepenuhnya pihak Yakult berdasarkan persetujuan yang dipersetujui kedua-dua pihak. Majlis menandatangani kontrak Yuta akan dilakukan dalam masa terdekat," demikian menurut Kafa.

Yuta yang beraksi di posisi tengah memulakan karier bola sepaknya dengan pasukan universiti iaitu Senshu University Soccer Team bermula 2009 hingga 2013 sebelum menyertai pasukan FC Suzuka yang beraksi dalam liga amatur Jepun selama dua tahun sehingga 2015.


Beliau kemudian berkelana ke Eropah dengan menyertai kelab dari republik Czech, SFC Stara Rise pada 2016.

Tahun berikutnya Yuta menyertai kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC sebelum berhijrah ke sebuah lagi kelab Kemboja, National Police Commissary F.C pada musim ini.

-- BERNAMA