EKORAN pembatalan perjanjian kerjasama dengan Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terpaksa mengkaji semula kontrak jurulatih dan pemain yang ditandatangani dengan jaminan pembayaran gaji oleh My Inspirations Sdn. Bhd.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pihaknya akan meneliti semula kontrak jurulatih dan pemain Kelantan untuk kebaikan bersama.

"Saya akan meneliti semula kontrak pemain dan jurulatih yang dibawa masuk oleh KRW baru-baru ini.

"Antaranya, termasuklah kontrak ketua jurulatih (Marko Kraljevic), Mohd Badri Radzi (Piya), Raul Taraggona dan beberapa pemain lagi.

"KAFA akan mengadakan rundingan dengan mereka untuk melihat kembali gaji yang ditawarkan bagi kebaikan bersama," katanya.

Bibi Ramjani juga menegaskan pihaknya akan melakukan penstrukturan semula selepas penarikan diri syarikat MyInspiration Sdn Bhd, yang memegang 70 peratus saham KRW Sdn Bhd.

"Kedudukan kewangan kami sekarang ini bergantung kepada hasil kutipan tiket penyokong yang datang ke stadium. Jadi, pemain perlu beraksi sebaik mungkin untuk meyakinkan penyokong untuk terus menyokong pasukan.

"Satu sidang media akan diadakan esok bagi menjelaskan perkembangan pasukan dan isu-isu yang berkaitan," katanya.

BACA: Kafa belum terima surat rasmi dari My Inspiration

Sementara itu, Kraljevic ketika dihubungi enggan mengulas khabar angin dia sudah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Kelantan.

"Saya tidak boleh bercakap berkaitan perkara itu (letak jawatan). Beri sedikit masa untuk kami menyelesaikan isu ini," katanya.