Berita  | Sukan

'Kami akan bermain mati-matian'

'Kami akan bermain mati-matian'
Para pemain berharap aksi sehabis baik dapat dijelmakan dalam perhitungan terakhir malam ini. - Gambar fail.
BEBERAPA jam menjelang perhitungan terakhir Piala AFF Suzuki 2018, skuad Harimau Malaya bersiap untuk melakukan segala yang terdaya untuk meruntuhkan ego si Naga Emas di laman sendiri.

Berdepan lawan yang memiliki kelebihan dua gol tempat lawan, anak buah Tan Cheng Hoe tekad bermain sehabis baik untuk melakar keputusan sekurang-kurangnya satu gol tanpa balas, sekaligus membawa pulang piala buat kali kedua ke tanah air.

“Saya harap malam ini kami akan bermain mati-matian, juga mengharapkan doa rakyat Malaysia,” kata pemain sayap, Adam Nor Azlin, mewakili rakan sepasukan lain.

Begitu juga pertahanan kanan, Syahmi Safari, yang turut memohon doa berterusan seluruh warga Malaysia.
“Kepada yang datang ke stadium dan juga yang menonton di tanah air, teruskan menyokong. Doakan yang terbaik, doakan kemenangan pasukan Malaysia,” katanya.

Pada petang Jumaat, 345 orang penyokong, termasuk pasukan sorak utama Harimau Malaya, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dengan dua penerbangan khas ke Hanoi.

Berdepan kira-kira 40,000 penyokong tuan rumah, ‘ekor’ Harimau Malaya akan memastikan semangat terus dihembus untuk memastikan ‘ngauman’ menggegarkan Stadium Nasional My Dinh.

“Terima kasih kepada penyokong Malaysia. Saya harap penyokong dapat datang dengan selamat dan pulang dengan selamat.

Do enjoy tengok game malam ini,” kata Tan, ketua jurulatih skuad negara.

Sepak mula perlawanan akhir kedua Malaysia menentang Vietnam akan berlangsung pada jam 8.30 malam ini (8 malam waktu tempatan).