"Walaupun kalah, kami tetap capai sasaran kami," itu rumusan yang dibuat Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, sebagai menyimpulkan kempen Malaysia dalam kejohanan Piala Thomas dan Uber yang berakhir hujung minggu lalu.

Sebelum berlepas ke Kunshan, Malaysia mensasarkan untuk mara ke separuh akhir Piala Thomas dan bagi Piala Uber pula, layak sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Tatkala kuasa besar, China telah tersingkir dan Indonesia menanti di final, Malaysia gagal melangkah ke perlawanan akhir Piala Thomas selepas tewas kepada Denmark.

Tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain, Frost menganggap barisan pemainnya telah memberikan yang terbaik dan menyifatkan Denmark lebih bagus daripada Malaysia dalam semua aspek.

"Kami capai sasaran kami. Kami telah lakukan apa yang diperlukan dan saya tidak kesal.

"Esok adalah hari baru, kami akan terus memberi saingan, cuba meningkat prestasi dan berharap lain kali (Piala Thomas) akan lebih baik," kata Frost ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Walaupun kempen Piala Thomas dan Uber sudah berakhir, Frost akan meneruskan perancangannya membina satu skuad baru buat Malaysia pada ketika beberapa pemain sudah pun berada di penghujung kerjaya.

"Kami pilih pemain berpengalaman kali ini.

"Kami perlu bina semula pasukan dan berharap lebih banyak perubahan.

"Saya harap pemain baru akan muncul dan mampu beraksi baik."