SHKODRAN MUSTAFI menegaskan pemain Arsenal tidak menyalahkan Arsene Wenger atas kekalahan mengejut 2-1 kepada Watford, Selasa lalu.

The Gunners ketinggalan 2-0 pada awal perlawanan dan cuba bangkit menerusi jaringan Alex Iwobi namun sebarang percubaan menyamakan kedudukan gagal dilakukan.

Kekalahan itu menyaksikan mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Chelsea dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini namun Mustafi berharap mereka mampu bangkit apabila berdepan anak buah Antonio Conte.

"Pemain yang berada di atas padang, kami menyalahkan diri sendiri dan bukannya Wenger," Mustafi memberitahu Sky Sports.

"Pada saya, kami harus menyalahkan diri sendiri. Apa yang penting kami perlu melihat kembali apa kesilapan kami dalam perlawanan itu daripada menyalahkan orang lain. Kami perlu mengambil tanggungjawab itu.

"Kami tahu kami mampu bermain dengan lebih baik. Segalanya tentang mentaliti pemain. Liga Perdana Inggeris menghadirkan cabaran yang nyata berbeza.

"Kami perlu bangkit, perlawanan berdepan Chelsea adalah amat penting, kami akan berikan segalanya sehingga minit akhir perlawanan.

"Pemain perlu fokus daripada minit pertama kerana mereka memiliki skuad yang berkualiti."