PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba, menambah minyak ke dalam api persengketaannya yang kian marak dengan pengurus, Jose Mourinho, sebaik saja menolak temu bual wartawan dengan frasa: "Kamu mahu saya mati?"

Temu bual tersebut merupakan susulan kepada kekalahan 3-1 United kepada West Ham, Sabtu lalu, yang mengakibatkan mereka kehilangan 10 mata daripada tujuh perlawanan pertama musim ini.

Pogba dikeluarkan Mourinho dalam babak kedua di Stadium London yang melengkapkan minggu penuh kontroversi melibatkan hubungan pemain dan pengurus tersebut.

Kontroversi itu turut melibatkan ketegangan dalam sesi latihan kedua-dua invidu berkenaan, tiga hari sebelum itu.

Ia bermula sebaik skuad kendalian Mourinho itu disingkirkan pasukan bimbingan Frank Lampard, Derby County, dalam saingan Piala EFL di laman sendiri tatkala pengurus dari Portugal itu menafikan dia berdepan masalah dengan Pogba walaupun jawatan penolong ketua pasukan dilucutkan daripadanya.

Selepas kemenangan 2-1 ke atas Leiceseter City dalam aksi pertama liga musim ini, Pogba menyatakan dia tidak dapat meluahkan apa yang berada di dalam fikirannya kerana takut akan didenda pasukan dalam satu temubual pasca perlawanan tersebut.

Namun, itu tidak menghalang Pogba mengkritik taktikal United yang gemar bertahan ketika terikat seri dengan Wolverhampton Wanderers di Old Trafford dengan menyatakan United sepatutnya lebih banyak menyerang, sekali gus ia dilihat sebagai satu kritikan sinis yang tajam kepada Mourinho.

Kekalahan kepada West Ham Sabtu lalu juga menyaksikan episod malang baru dalam era Mourinho dengan reaksi Pogba jelas menunjukkan masa depannya bersama United semakin kabur.

Pogba dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, Januari depan, dengan Juventus turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan semula bintang Perancis itu.

Mourinho juga tidak dapat lari daripada situasi sama, dengan bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, turut dikaitkan sebagai penggantinya di Old Trafford.