PERSATUAN Karate-Do Pahang (KARAPAH) kecewa apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, enggan campur tangan dalam isu penggantungan mereka, sekali gus mengancam untuk mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya, Selasa depan.

KARAPAH tampil menyuarakan rasa kecewa apabila tiada sebarang tindakan terhadap penggantungan mereka.

Mereka sudah membuat permohonan untuk berjumpa Syed Saddiq bagi mencari jalan penyelesaian, namun selepas sebulan keadaan tidak berubah.

Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF) menggantung KARAPAH pada 1 Jun 2017 atas dakwaan tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2016, sekali gus menjejaskan program pembangunan sukan itu di Pahang.

Ia secara tidak langsung menghalang KARAPAH mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MAKAF, 28 Oktober ini.

"Kami mendapat pengetahuan bahawa Syed Saddiq tidak bertemu dengan mana-mana persatuan sukan dan sekiranya tidak mendapat maklum balas hingga Isnin, KARAPAH akan mengadakan tunjuk perasaan di depan pejabat Menteri Belia dan Sukan," kata Presiden KARAPAH, Kevin Ramesh.