Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan bersama penggiat industri sukan renang dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan pandangan mereka dalam proses memperincikan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih komprehensif.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penambahbaikan SOP berkenaan akan dikemukakan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk proses kelulusan.

Beliau menegaskan pihak kementerian sedang dalam perancangan untuk menambah baik SOP sedia ada bagi membolehkan aktiviti renang dibenarkan beroperasi seperti biasa.

"Banyak respons dan pertanyaan telah diterima berkaitan aktiviti sukan renang selepas pengumuman yang telah dibuat semalam.

"Kerajaan memahami keresahan rakyat akibat kesemua aktiviti kolam renang masih lagi antara perkara yang tidak dibenarkan dalam pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 2," katanya dalam kenyataan ringkas dikeluarkan KBS, pada Selasa.

Terdahulu, Reezal Merican mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohamad dan Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen di Putrajaya, pada Selasa.

Pertemuan berkenaan adalah bagi memperincikan SOP untuk sukan renang yang bakal dikemukakan kepada MKN dan KKM.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad lepas, memaklumkan antara yang dibenarkan adalah latihan persediaan pasukan dan aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah dan sebagainya.

Aktiviti sukan yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam serta sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.

-- BERNAMA