Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan program sukan akan diperhebat di kawasan-kawasan terpilih luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

Syed Saddiq berkata, pembangunan fizikal untuk kemudahan sukan itu tidak akan melibatkan kos yang tinggi.

Sebaliknya katanya, ia akan memberi apa yang dikehendaki oleh penduduk luar bandar iaitu pembangunan asas berimpak tinggi.

"Mereka mahukan padang futsal, padang bola sepak, padang bola keranjang. Kos rendah tetapi berimpak tinggi yang dapat diterjemahkan sebagai tempat komuniti," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Ahli Parlimen Muar itu juga menambah bahawa lawatannya ke Sabah dan Sarawak mulai bulan depan bertujuan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan terlibat.