Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperluaskan pemasangan padang sintetik ke seluruh negara dalam usaha menggalakkan lagi penglibatan generasi muda dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata padang itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk lampu limpah yang membolehkan golongan muda menggunakannya sepanjang hari termasuk pada waktu malam.

"Buat masa ini, KBS baru memasang dua padang sintetik di Kelantan dan di sini (Chukai).. lepas ini kita akan cuba pasang lampu limpah sebab ramai yang merungut padang tidak boleh digunakan pada waktu malam sebab lampu yang malap sedangkan mereka hanya boleh menjalankan aktiviti sukan selepas pulang daripada bekerja.

"Kita juga akan fokus pemasangan padang ini bagi stadium di kawasan luar bandar dan kawasan berisiko tinggi bagi mengurangkan gejala sosial di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan padang sintetik Stadium Mini Kemaman berharga RM3 juta kepada Majlis Perbandaran Kemaman di Mak Chili di sini pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan NGO Negeri Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menafikan dakwaan insiden diserang penyokong Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih semalam hanya bagi menagih simpati rakyat terutama pengundi di kawasan itu.

"Ini bukan soal tagih simpati kerana saya yakin bab itu di mana boleh tengok sendiri dalam video bagaimana penyokong di pihak sana yang cuba menyerang saya secara fizikal ketika saya hendak berjalan ke kereta selepas tamat penamaan calon.

"Tapi saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis, mereka ada di sana dan mereka perasan sesuatu berlaku dan mereka terus bantu untuk saya ke kereta," kata Anggota Parlimen Muar itu.

"Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu seadilnya. Saya juga tidak ada masalah jika Papagomo mahu saman saya kerana saya tahu saya di pihak yang benar... saksi pun ramai termasuk pihak polis," tambahnya.