Kementerian Belia dan Sukan memberi jaminan nasib atlet di bawah naungan Persatuan Triathlon Malaysia dan Persatuan Luncur Ais Malaysia akan terbela walaupun kedua-dua persatuan sukan berkenaan digantung oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pihaknya akan memastikan kebajikan atlet kedua-dua persatuan terbabit mendapat pembelaan sewajarnya agar mereka dapat terus beraksi dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

"Berkenaan nasib kedua-dua persatuan sukan berkenaan, saya biarkan PJS untuk tentukan kerana saya tidak mahu campur tangan di sana.

"PJS akan buat penilaian yang agak khusus untuk pastikan masalah (berbangkit) dapat diselesaikan secepat mungkin, tetapi komitmen kita kepada atlet akan tetap diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq mendedahkan atlet kedua-dua persatuan sukan berkenaan pernah berjumpa dengan beliau memintanya campur tangan dalam menyelesaikan isu penggantungan tersebut.

Namun katanya beliau bertegas dengan keputusan untuk menyerahkan kepada PJS membuat keputusan tanpa gangguan.

PJS dilaporkan mengambil keputusan menggantung kedua-dua persatuan sukan berkenaan kerana dikatakan gagal menghantar laporan tahunan kepada PJS sejak beberapa tahun lepas.

-- BERNAMA