JURGEN Klopp percaya aksi hebat Liverpool menundukkan Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah lebih bernilai berbanding menjulang trofi.

Naib juara musim lalu, Liverpool, memadamkan kelebihan 3-0 yang diraih Barca menerusi kemenangan 4-0 di Anfield Selasa lalu.

Klopp masih belum menjulang trofi sejak berhijrah ke Liverpool -- yang kini bersaing bersama Manchester City untuk perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris -- pada 2015 tetapi pengendali dari Jerman itu memuji kebangkitan pasukannya.

"Ia bukan mengenai saya tetapi lebih kepada kelab," kata Klopp yang bakal mengemudi Liverpool berdepan Tottenham Hotspur di final 1 Jun depan.

"Semua orang perlu tampil yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan. Itu yang kami cuba. Jika ia memberikan kejuaraan, memang indah tetapi kami tidak mampu melakukan selebihnya.

"Jika orang ramai menghakimi saya menerusi apa yang dimenangi pada masa lalu serta di masa akan datang, saya tidak boleh mengubahnya. Apa yang boleh saya lakukan adalah berikan yang terbaik. Ia tidak sempurna kerana ia adalah saya tetapi saya tidak dapat lakukan lebih.

"Tahun ini merupakan tahun yang indah dilalui bersama. Menjelang perlawanan, menikmatinya dan Selasa lalu adalah detik paling hebat. Itu yang kami mahu tampilkan kepada dunia luar. Ini adalah Liverpool, segalanya mungkin di sini berbekalkan orang sekeliling. Itulah gambarannya. Detik seperti ini lebih bernilai berbanding trofi.

"Tugasnya adaah untuk membangunkan sebaik yang boleh, jadi ia mencerahkan peluang untuk memenangi kejuaraan dan itu yang kami lakukan setakat ini. Kini, kami mara ke final dan akan beraksi, belajar daripada beberapa tahun yang lalu dan lihat apa yang boleh dilakukan. Esok adalah aksi terakhir Liga Perdana Inggeris. Ia bukan dalam tangan kami tetapi ia tidak memburukkan musim kami. Ia cuma penamat yang berbeza."

Liverpool akan berdepan Wolverhampton Wanderers dalam aksi terakhir Liga Perdana esok tatkala The Reds mengejar kejuaraan liga pertama sejak 1990 sambil pendahulu, City, bertandang ke Brighton and Hove Albion.