SETIAP generasi pemain papan selaju mempunyai seorang atau segelintir pemain yang mempengaruhi cara mereka bermain, berfikir dan juga mendorong kemajuan mereka bermain.

Bagi generasi baharu, Nyjah Huston adalah salah seorang yang menjadi penanda aras buat mereka kerana dia sering menunjukkan manusia boleh melakukan lebih daripada apa yang difikirkan mampu dan tiada batas wujud dalam sukan papan selaju.

Video aksi Huston yang terbaharu, 'Til Death terbitan Nike Skateboarding (Nike SB) dimuat naik baru-baru ini di saluran rasmi Youtube Nike SB ternyata di luar jangkaan peminatnya, ditambah dengan kreativiti suntingan dan rakaman yang dibuat pengarah dan pembikin filem terkenal, Ty Evans.

Salah satu babak dalam video ’Til Death terbitan Nike SB. - Foto tawan skrin video ’Til Death.

Huston merupakan juara 20 kejohanan papan selaju terbesar, Street League Skateboarding (SLS), termasuk satu gelaran Super Crown (2014) sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2010.

Dia juga atlet yang pertama memenangi kesemua jelajah SLS pada 2014 dan sehingga kini tiada yang berjaya menyamai rekod yang dibuatnya.

Atlet papan selaju berusia 23 tahun itu mula bermain sejak berusia lima tahun sebelum ditaja oleh Element Skateboards dua tahun kemudian.

Huston mencapai status pemain profesional pada 2008 dan sehingga sekarang ditaja oleh Element.

Video terbitan Nike SB itu mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan dengan Huston membuktikan pemain papan selaju mempunyai kekuatan dan semangat yang luar biasa untuk menjayakan aksi lagak ngeri yang dirancang mereka.

Jika anda menganggap papan selaju bukan sukan yang berprestasi tinggi, anda perlu melihat video yang dikeluarkan Nike SB itu.

Sehingga titisan darah terakhir, itu janji Huston kepada papan selaju.